DASAR KERAJAAN


Sumber : Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat
Dasar Warga Tua Kebangsaan
MUKADIMAH
Malaysia boleh menjadi sebuah negara yang bersatu-padu, bertoleransi, dengan masyarakatnya 
yang mempunyai keyakinan diri, nilai-nilai moral dan etika yang  utuh, progresif dan makmur, 
serta mampu memainkan peranan untuk menjamin kesejahteraan semua golongan masyarakat. 
Bagi mencapai matlamat ini, perlu diwujudkan masyarakat yang mengamalkan nilai-nilai 
penyayang dan bertimbang rasa, dengan sistem sosial yang  lebih mementingkan keperluan 
sejagat, iaitu kebajikan rakyat berteras kepada sistem kekeluargaan yang jitu dan mantap perlu 
dipertingkatkan dan diperkukuhkan secara berterusan. Sehubungan itu, warga tua yang 
merupakan sebahagian daripada ahli masyarakat dan negara, diakui mempunyai banyak 
pengalaman dan kemahiran. Mereka telah banyak memberi sumbangan selama ini dan masih 
mempunyai potensi menyumbang kepada keluarga, masyarakat dan negara. Oleh yang 
demikian adalah wajar mereka mendapat perhatian, penghormatan dan kasih sayang bagi 
memastikan menikmati kesejahteraan hidup sepanjang hayat.
TAKRIFAN
Warga tua ditakrifkan mereka yang berumur 60 tahun ke atas. Takrifan ini berpandukan kepada 
takrifan yang dibuat di “World Assembly On Aging in 1982” Vienna. 
DASAR
Mewujudkan masyarakat warga tua yang sejahtera, bermaruah, mempunyai martabat diri yang 
tinggi, dengan mengoptimumkan potensi  diri mereka dan menentukan mereka menikmati 
semua peluang  di samping mendapat penjagaan dan perlindungan sebagai ahli keluarga, 
masyarakat dan negara. OBJEKTIF
a. Meningkatkan kehormatan dan martabat diri warga tua dalam keluarga, masyarakat 
dan negara.
b. Memajukan potensi warga tua agar mereka terns aktif dan produktif dalam 
pembangunan negara, serta mewujudkan peluang untuk membantu mereka terns hidup 
berdikari. 
c. Menggalakkan pewujudan dan menyediakan kemudahan-kemudahan yang tertentu 
demi untuk menjamin penjagaan dan perlindungan warga tua ke arah kesejahteraan 
hidup mereka.
STRATEGI
1. KEHORMATAN DAN MARTABAT DIRI 
a. Membolehkan warga tua hidup dengan penuh kehormatan dan martabat diri serta 
selamat dan bebas daripada penindasan dan penganiayaan;
b. Menentukan warga tua mendapat layanan yang adil dan saksama tanpa mengira umur , 
jantina, keturunan etnik, agama, kecacatan atau lain-lain keadaan dengan tidak 
mengambil kira keupayaan sumbangan mereka;
c. Membolehkan warga tua menikmati peluang untuk merealisasikan potensi optimum 
mereka;
d. Memudahkan warga tua mendapatkan akses kepada sumber pendidikan, kebudayaan, 
rohaniah dan rekreasi yang ada dalam masyarakat.
2. KEUPAYAAN BERDIKARI 
a. Memastikan warga tua dapat memenuhi keperluan asas melalui sumber pendapatan, 
sokongan keluarga dan masyarakat serta usaha sendiri;
b. Memudahkan warga tua mendapat peluang untuk terns berkhidmat dan memberi 
sumbangan kepada negara;c. Memastikan warga tua dapat menikmati persekitaran yang selamat dan mudah 
diubahsuaikan selari dengan keupayaan yang berubah;
d. Membolehkan warga tua terus tinggal bersama dengan keluarga dan masyarakat selama 
mungkin;
e. Memberi persediaan  awal kepada warga tua untuk menentukan perancangan 
sumbangan berasas kepada kepakaran dan keupayaan yang dimiliki secara berterusan 
ke arah pembangunan negara.
3. PENYERTAAN 
a. Membolehkan warta tua memainkan peranan dalam masyarakat dan melibatkan diri 
secara aktif dalam penggubalan dan pelaksanaan dasar-dasar berkaitan kesejahteraan 
mereka serta menurunkan pengetahuan dan kemahiran kepada generasi muda;
b. Memberi peluang kepada warga tua untuk menyumbang kepada masyarakat secara 
sukarela sesuai dengan keupayaan dan minat mereka;
c. Menggalakkan warga tua menubuhkan Persatuan atau Pertubuhan bagi menjalankan 
aktiviti untuk kesejahteraan mereka.
4. PENJAGAAN DAN PERLINDUNGAN 
a. Mewujudkan kemudahan bagi jagaan dan perlindungan di dalam keluarga dan 
masyarakat sesuai dengan sistem dan nilai-nilai masyarakat negara ini;
b. Memudahkan warga tua mendapat jagaan kesihatan untuk membantu mereka 
mengekal atau memulihkan tahap kesihatan  fizikal, mental dan emosi ke peringkat 
optimum serta mencegah daripada jangkitan penyakit ;
c. Membolehkan warga tua memanfaatkan perkhidmatan institusi yang menyediakan 
jagaan, perlindungan dan stimulasi sosial serta mental dalam suasana yang selamat dan 
selesa ;
d. Memudahkan warga tua mendapat perkhidmatan sosial dan perundangan bagi 
memajukan hak autonomi individu, perlindungan dan jagaan mereka ;e. Menjamin warga tua menikmati hak asasi individu semasa dalam jagaan dan rawatan 
dengan mengambil kira kehormatan diri, kepercayaan dan keperluan yang sesuai bagi 
mereka ;
f. Mewujudkan Sistem Keselamatan Sosial yang komprehensif bagi menjamin pendapatan 
dan kebajikan yang stabil di kalangan warga tua.
5. PENYELIDIKAN DAN PEMBANGUNAN 
a. Menggalakkan pelaksanaan kajian-kajian mengenai warga tua bagi tujuan pengumpulan 
maklumat untuk kegunaan perancangan program pembangunan warga tua ;
b. Mewujudkan satu Badan Penasihat Dan Perundingan Warga Tua Kebangsaan membantu 
menyelaraskan dan  mengenal pasti keperluan-keperluan membuat, mengenai aktiviti 
bagi warga tua.
6. PELAN TINDAKAN 
 Pelaksanaan program dan aktiviti berkaitan warga tua oleh setiap individu dan 
kelompok, pertubuhan sukarela, masyarakat tempatan, agensi Kerajaan dan pihak 
swasta berpandukan kepada Dasar Warga Tua Negara.
 Bagi menjayakan perlaksanaan Dasar Warga Tua Negara maka usaha-usaha bersepadu 
dan menyeluruh perlu diambil oleh Agensi-agensi yang berkenaan, antaranya :-
 Pendidikan  - Kemudahan-kemudahan pendidikan dan latihan perlu disediakan untuk 
membolehkan warga tua untuk mengikuti kursus dan melanjutkan pelajaran bagi 
membolehkan mereka mengembangkan potensi ke tahap optimum. Kurikulum sekolah 
perlu mengambil kira pendidikan kekeluargaan agar generasi muda dapat menghayati 
dan memahami warga tua.
 Pekerjaan  - Warga tua digalakkan untuk terus menyumbangkan kepada pembangunan 
negara melalui penyertaan dalam pekerjaan berasaskan kepada pengalaman dan 
kemahiran masing-masing. Dengan secara ini mereka boleh hidup berdikari dari segi 
pendapatan dan kesejahteraan hidup. Penyertaan Dalam  Masyarakat - Warga tua digalakkan melibatkan diri dalam aktivitiaktiviti kekeluargaan dan pertubuhan-pertubuhan kemasyarakatan, untuk 
membolehkan mereka memainkan peranan dalam keluarga dan masyarakat di samping
dapat berinteraksi di antara mereka.
 Riadah  - Kemudahan-kemudahan yang sesuai perlu disediakan bagi warga tua 
menjalankan aktiviti riadah di kawasan-kawasan perumahan, taman rekreasi dan pusatpusat sukan.
 Pengangkutan - Sistem pengangkutan awam perlu menyediakan kemudahan yang sesuai 
untuk membolehkan warga tua bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain dengan 
selesa.
 Perumahan  - Rumah-rumah yang sedia ada dan akan dibina perlu mengambilkira 
kemudahan-kemudahan yang sesuai untuk warga tua, supaya membolehkan mereka 
dapat hidup dengan lebih selesa.
 Sistem Sokongan Bagi Keluarga  - Untuk menentukan warga tua dapat hidup terus 
bersama keluarga maka sistem sokongan bagi keluarga perlu diwujudkan di kawasankawasan perumahan untuk membantu keluarga dalam penjagaan warga tua. Insentifinsentif yang tertentu perlu diperkenalkan bagi menyokong ahli-ahli keluarga yang 
menjaga warga tua meneruskan peranan mereka.
 Kesihatan  - Kemudahan-kemudahan perubatan dan kesihatan yang sesuai dan khusus 
untuk warga tua perlu disediakan bagi menentukan mereka boleh hidup dengan 
penjagaan kesihatan yang sempurna.
 Keselamatan Sosial  - Satu skim keselamatan sosial yang komprehensif untuk menjamin 
masa depan warga tua perlu disediakan.
 Media  - Untuk meningkatkan  kesedaran berkaitan dengan warga tua  di kalangan
masyarakat, maka media cetak dan elektronik perlu memainkan peranan yang lebih 
aktif.
 Penyelidikan dan Pembangunan  - Kajian-kajian perlu dilaksanakan untuk mendapatkan 
maklumat-maklumat agar perancangan yang lebih teratur dapat dilaksanakan untuk 
kesejahteraan warga tua. Jabatan Kebajikan Masyarakat di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan  Masyarakat  dikenal pasti sebagai agensi yang 
bertanggungjawab dalam penyelarasan pelaksanaan pelan tindakan. 

No comments:

Post a Comment